Part # 2
Pelangi Lapan Warna Part # 3 by Fatin Syamimi <--- klik untuk ke blog beliau
‘Abang, sayang rindukan abang. Sangat-sangat.’
Secara tak sengaja Laila terbaca mesej pesanan ringkas yang singgah ke telefon bimbit yang bukan miliknya. Niat di hati hanya ingin membelek-belek gambar yang tersimpan di galeri, gambar kenangan manis. Berderau darahnya. Tak pernah Laila menggelar jejaka kesayangannya dengan panggilan abang, cukup sekadar ber’saya’ dan ber’awak’.
‘Sayang? Abang? Ya Allah, dugaan apakah ini?’
Lalu Laila meletakkan kembali telefon bimbit yang bukan kepunyaannya di atas meja. Air mata diseka, selendangnya dibetulkan. Cuba berlagak seolah-olah tiada apa yang berlaku.
“Laila nak balik. Tak sedap badan lah. Mungkin penat sangat.”
Insan yang baru duduk di hadapannya hanya mengangguk perlahan sambil memesan supaya Laila rehat secukupnya.
‘Cukuplah aku sebagai perempuan diperkotak-katikkan. Cukuplah sampai di sini sahaja kebodohanku. Kenapa kau bodoh Laila? Kenapa kau buta Laila? Betul kata bonda. Jangan percaya pada lelaki. Oh, bonda, Laila rindukan bonda.’
Langkah kakinya dihayun pantas. Timbul rasa di hati ingin lari laju-laju dari tingkat 8 bangunan sebelah lalu terjun ke bawah yang siap sedia dinanti oleh tilam spring. Kerana saat dirinya di udara adalah ruang di mana Laila akan tinggalkan segala kesedihannya di atas, dan bila mendarat di bumi, segala hubungan kasih sayang dengan insan tersebut tidak pernah berlaku sama sekali. Tapi Laila sedar. Itu hanya angan-angan.
Laila harus kuat menempuh kehidupan yang penuh warna. Sama ada merah dengan rasa ghairah, jingga dengan rasa riang, kuning dengan rasa setia, hijau dengan rasa iman, biru dengan rasa tenang, indigo dengan rasa bergaya, ungu dengan rasa semangat, putih dengan rasa suci atau hitam dengan rasa berbalam-balam.
***
‘Laila, mengapa jadi begini? Tiada lagikah ruang di hatimu untukku?’
Dia menyendiri, mengira bintang-bintang selatan. Harapannya Laila juga sedang mengira bintang-bintang utara.
‘Kau tu yang bodoh, tolol wahai lelaki. Laila begitu baik, sempurna di mata manusia lain, mengapa kau hancurkan hati suci dia? Kerana nafsu kau? Kerana kau nak test market konon?’
Suara ghaib sedang mentertawakan dirinya. Akibat kebodohannya, mahu tunjuk lagak yang dia itu jejaka terhangat di pasaran, dia itu sekali petik sepuluh yang mari. Nah, kini rasakan! Bagaimana Laila pecah dadanya, dirobek hatinya kerana dipermainkan, kini dia harus menerima balasan.
‘Kau kan kacak, berduit. Cuba kau pikat perempuan lain, mesti dapat. Takkan kau nak serious terus dengan Laila tu. Kita muda lagi lah kawan. Dah rasa nak kahwin nanti, pilihlah yang terbaik. Kau pasti takkan menyesal bila dapat yang terbaik antara yang terbaik. Hahahaha!!!’
Itulah antara ayat-ayat yang menjadi perangsang dirinya betindak kejam pada hati Laila. Laila terus ditipu dari hari ke hari. Laila terus tersenyum bersama harapan palsu yang dia ciptakan.
‘Laila, aku berdosa pada kau. Sungguh, memang aku berniat untuk acah-acah sahaja dengan yang seorang lagi. Tapi kau tetap di hati aku, Laila. Kau satu dalam sejuta. Kau yang terbaik untukku.’
Dia megeluh lagi. Memang salahnya, punca darinya yang menyebabkan segala kucar-kacir begini.
***
Laila tenang dan selesa bila berada dalam dakapan bonda. Bonda lah segala-galanya buat Laila kini. Setelah ujian yang tidak terduga melanda dirinya, Laila mengambil keputusan untuk pulang ke kampung halaman. Menjauhkan diri dari masalah bukan tindakan yang bagus, tapi Laila perlukan sedikit ruang supaya tidak membuat keputusan dalam keadaan terburu-buru. Kata satu pepatah ini ‘sesuatu yang dimulai dengan rasa marah, akan berakhir dengan rasa malu.’
Sekali lagi, petang itu Laila menapak perlahan-lahan ke pondok di tepi sawah itu. Berbekalkan diari ungu kesayangannya, Laila membelek satu per satu muka surat .
‘Melarikan diri dari kesibukan tugasan, aku dan dia ke Muzium Negeri. Janggal bukan? Ah! Biarlah. Kami masih mahasiswa, tiada duit yang menggunung tinggi, aku pun tak mahu menumpang kesenangan dia, RM2 tak terlalu banyak jika digunakan untuk sehari suntuk melawat perkara bersejarah. Uniknya, percintaan luar biasa. Mana ada pasangan lain yang buat macam aku dan dia. Keh keh keh. Boleh disimpan memori ini untuk anak cucu nanti. Oh, ke hadapan benar aku berangan. Entah ya, entah tidak aku menjadi surinya. Tapi tak salah kan kalau aku berharap?’
Air mata menitis di pipi. Saat manis itu menjelma di minda Laila.
‘Mengapa jadi begini? Kesetiaan yang aku berikan, kesedihan yang dia balas. Hmmmm.’
‘Petang itu, aku dan dia ke pantai. Mendengar irama dan lagu dari ombak dan pantai. Umpama aku dan dia, tak dapat dipisahkan lagi. Duduk di atas pasir sambil mencoretkan nama kami berdua, lalu dibentuk corak hati mengelilingi nama kami. Oh, bahagianya. Sambil memerhatikan matahari terbenam, indah sungguh panorama itu.’
Laila tak mampu lagi meneruskan pembacaannya. Matanya kian kabur, takungan air mata kian memberat. Tunggu saat mahu gugur ke pipi gebu Laila. Akhirnya Laila bangun dari pangkin, menyarungkan selipar lalu menapak perlahan-lahan ke teratak mawaddah, tempat berteduh Laila dan bonda. Tak lama lagi azan Maghrib bakal berkumandang, pasti bonda sedang menanti Laila untuk solat berjemaah. Tak ada yang lebih baik darinya jika dapat berimamkan bonda ketika bersolat. Dulu Laila pernah memasang impian;
‘Selain abah dan bonda yang mengimamkan Laila bersolat, Laila mahu awak yang imamkan solat Laila nanti, ya?’
Kini, impian hanya tinggal impian. Laila harus tabah. Kata orang kalau jodoh, dugaan macam mana sekalipun, pasti kalian akan bersama.
Dari kejauhan, bonda sedar ada sesuatu yang mengganggu fikiran gadis suntinya itu. Dari tindak-tanduk Laila, kerutan di wajahnya, senyum yang tiada seri, bonda tahu Laila sedang berdepan dengan cabaran kehidupan.
‘Sabarlah sayang, bonda tahu, Laila kesayangan bonda ini kuat hatinya, tegar keyakinannya. Meskipun dilambung badai, pasti Laila mampu mengharunginya.’
bersambung....
No comments:
Post a Comment