by: Lieyanna Esmeralda
dan dalam sendu yang menggigit hati, aku cuba menepis akan memori yang tanpa silu datang menjengah. Ahh!! Aku cuba usir. Tidak mahu lagi terus menerus meratap.
Tapi…
Kau tahukah bulan, aku rindukan dia…
Aku menantikannya saban hari tanpa jemu..
Kau tahukah bulan??
Sepi…tiada jawapan.
Apakah aku juga perlu bertanya pada bintang??
Diam…bintang juga tiada jawapan.
Ahhh….air mata ini bagaikan hujan. Ya, hujan sendu hati ini wahai alam.
Daun pintu jendela aku tarik rapat. Sejuk hawa malam semakin tidak tertahan. Hangat menjengah. Kipas kaki merah jambu pemberian arwah abah, aku usap. Habuk semakin tidak malu bertandang. Ku bangun menuju almari usang itu, mencapai perca kain.
Kipas itu aku lap. Dengan mata yang masih lagi bergenang. Memori arwah abah mengetuk minda. Aku masih terkenang senyuman abah sewaktu menghadiahkan aku kipas ini.
“ Hadiah untuk Laila. Mulai malam ini, Laila tak lagi kepanasan.” Ucap abah sambil mencubit pipiku. Aku ketika itu, hanya melompat kegirangan. Ya, hadiah sebegini cukup besar bagi golongan sederhana seperti kami. Bonda hanya tersenyum sambil memeluk erat tangan kiri abah. Ah, aku rindu waktu itu.
“Abah…Laila rindu abah.”
Sendu itu semakin menggila. Memori tentang dia dan abah bercampur aduk. Dan yang pastinya, ke duanya aku rindu. Kipas yang telah bersih itu, aku pasang. Deru angin dari kipas itu membelai lembut wajahku. Lampu bilik aku matikan. Giliran badanku pula perlu dimanjakan. Malam ini, seperti biasa, lenaku masih ditemani air mata. Setia.
***
Subuh itu, seperti biasa, solatku di imami bonda. Syahdu suasana subuh amat dirasai. Tangan bonda ku cium dan seperti biasa, dahiku disinggahi bibir bonda. Lembut, sejuk.
Subuh itu, seperti biasa, solatku di imami bonda. Syahdu suasana subuh amat dirasai. Tangan bonda ku cium dan seperti biasa, dahiku disinggahi bibir bonda. Lembut, sejuk.
“ Sarapan apa hari ini bonda?” Manja aku bertanya.
Bonda tersenyum sambil melipat telekung.
“ Macam biasa, kegemaran Laila.” Jawab bonda ringkas. Aku tersenyum senang. Terbayang nasi lemak kegemaran, hasil air tangan bonda.
***
Petang yang damai. Aku membawa diri dengan memegang erat diari ungu. Menuju lokasi kegemaran. Sebuah pondok di tepi sawah.
Petang yang damai. Aku membawa diri dengan memegang erat diari ungu. Menuju lokasi kegemaran. Sebuah pondok di tepi sawah.
Pondok ini masih utuh. Mungkin seutuh kasih dan rindu pada dia. Ya, mungkin. Hati aku meronta. Apakah yang dia lakukan sekarang? Adakah sama seperti aku, saban hari menunggu, menanti, merinduinya? Adakah? Tiada siapa yang bisa menjawabnya. Kerana hanya dia yang mampu merungkai persoalan ini.
Termenung jauh aku di sini. Deru angin menolak lembut rambutku. Ku selit tepi telinga. Diari ungu itu, aku buka. Helaian demi helaian aku selak, aku baca. Diari hidupku. Ya, diari yang dimulai saat pertama ku kenali dia. Bait-bait ayat yang ku tulis, ku hayati.
-‘Dia tersenyum mendapatkan aku sambil berpayung pink milikku tanpa segan silu. Tangan kirinya memegang patung beruang putih. Untukku. Oh, kesayanganku sangat manis waktu itu.’
Mataku terpejam membaca baris ayat itu. Tanpa tertahan, air mataku laju menuruni pipi. Tidak terdaya untuk ku seka. Biarkan. Aku biarkan saja mutiara jernih itu. Awak, dimana awak? Tidak rindukah awak kepada saya? Lupakah awak pada diri ini?
Aku teresak sendirian di pondok tepi sawah.
Mindaku masih lagi ligat memutarkan memori.
Dia
Mana dia? Mana warna pelangi ke 8 ku?
bersambung...
No comments:
Post a Comment